fb fb fb fb fb

Ancaman iklim terhadap pekerja, kerjasama semua pihak penting - NIOSH

Foto NIOSH

BANGI, 28 April- Semua pihak perlu berganding bahu bagi menangani risiko yang dihadapi pekerja akibat perubahan iklim yang semakin ketara di seluruh dunia.

Bersempena sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Sedunia 2024 hari ini, Naib Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Manivanan Gowin berkata pihaknya bersedia memberikan khidmat nasihat dan rundingan, selain menaik taraf program latihan KKP bagi membantu kerajaan, majikan dan pekerja menghadapi cabaran berkaitan perubahan iklim.

NIOSH aktif dalam menjalinkan kerjasama dengan pelbagai organisasi bagi meningkatkan kajian dan perkhidmatan berkaitan KKP.

Sehingga kini, NIOSH menandatangani 139 dokumen kerjasama Memorandum Persefahaman (MoU) bagi tujuan tersebut.

"Berdasarkan kajian ILO (Pertubuhan Buruh Antarabangsa), perubahan iklim yang semakin ketara akan menyebabkan kira-kira 70 peratus pekerja di seluruh dunia terdedah kepada pelbagai bahaya seperti strok haba, sinaran ultraviolet (UV) berlebihan, pencemaran udara serta penyakit bawaan vektor dan agrokimia.

"ILO menjangkakan sehingga 860,000 kematian berkaitan pekerjaan akan berlaku dalam kalangan mereka yang bekerja di luar pejabat setiap tahun akibat masalah kesihatan yang dijangka meningkat disebabkan perubahan iklim.

"Ini termasuk penyakit kanser dan kardiovaskular, masalah pernafasan, kegagalan buah pinggang serta masalah berkaitan kesihatan mental," katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, laporan ILO turut menunjukkan bahawa perubahan iklim memberi kesan serius kepada 2.4 bilion pekerja yang terdedah kepada cuaca panas dan mereka ini mewakili lebih 70 peratus daripada keseluruhan 3.4 bilion pekerja di seluruh dunia.

Di dalam laporan bertajuk “Memastikan Keselamatan dan Kesihatan Ketika Bekerja Dalam Perubahan Iklim”, ILO turut menggariskan beberapa impak besar akibat perubahan iklim.

Menerusi laporan itu, sebanyak 18,960 kematian akibat kanser kulit bukan melanoma setiap tahun disebabkan terdedah kepada sinar UV.

"1.6 bilion pekerja terdedah kepada pencemaran udara di tempat kerja, menyebabkan sehingga 860,000 kematian dalam kalangan pekerja luar pejabat setiap tahun.

"Lebih 870 juta pekerja dalam bidang pertanian akan terdedah kepada racun perosak dengan lebih 300,000 kematian dijangkakan setiap tahun," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM