fb fb fb fb fb

Ancaman keselamatan siber, tumpuan 'Angkatan Tentera Masa Hadapan'

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR, 13 Februari - Penyediaan dan pembangunan 'Angkatan Tentera Masa Hadapan' antara matlamat mendasari Kertas Putih Pertahanan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkembangan teknologi menuntut tumpuan pertahanan terarah kepada isu ancaman keselamatan siber, digital dan elektromagnetik pertahanan.

Beliau berkata, isu tersebut perlu diberi perhatian dengan menyifatkan penggodaman atau serangan siber berisiko memberi impak kepada keselamatan dan pertahanan sesebuah negara.

"Kita mungkin berhadapan dengan keadaan yang mana peperangan akan datang banyak gunakan teknologi, peperangan serangan dilakukan melalui drone jadi kita perlu ramai pengodam. Selain usaha-usaha menceroboh peralatan yang ada di kalangan negara yang mungkin tidak bersama dengan kita.

"Kita akan dapat lihat penggunaan secara meluas teknologi maklumat, maka memang tidak boleh elak dan akan menjadi trend yang akan dilaksanakan oleh tentera-tentera di tempat lain. Kita tidak boleh ketinggalan dan terkebelakang maknanya satu hari nanti kita memang akan ambil anggota tentera yang hebat yang boleh menjadi penggodam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan (KPP), di sini.

Tambah Mohamed Khaled, langkah itu juga merupakan sebahagian daripada persediaan beberapa buah negara menghadapi pertembungan kuasa yang melibatkan kecanggihan teknologi seperti dron dan aset yang dikawal secara digital.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled turut mengesahkan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor telah meletakkan jawatan itu secara sukarela.

“Sebenarnya Raja Mohamed Affandi letak jawatan secara sukarela, tiada isu berhubung perkara berkenaan,” katanya.

Pada 8 Februari lalu, LTAT dalam satu kenyataan mengumumkan persaraan Raja Mohamed Affandi daripada jawatan berkenaan.

Bagaimanpun, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi menjelaskan beliau tidak bersara daripada menjadi Pengerusi LTAT, sebaliknya meletakkan jawatan.

Raja Mohamed Affandi dilantik menjadi Pengerusi LTAT pada 3 Ogos 2021, menggantikan Jen (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin yang bersara setelah berkhidmat sebagai Pengerusi LTAT sejak Ogos 2018.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN