fb fb fb fb fb

Anak muda Sabah digalak ceburi TVET tampung permintaan tenaga mahir

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KOTA KINABALU, 21 April- Lebih ramai anak muda di Sabah perlu diberikan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) bagi menampung permintaan tenaga mahir daripada pelabur asing atau domestik di negara ini kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata baru-baru ini, China menawarkan Malaysia untuk menghantar 2,000 pelajar bagi mengikuti program TVET dengan biasiswa penuh ke negara tembok besar itu.

Daripada angka itu Ahmad Zahid mahu memastikan 500 daripadanya diisi oleh anak muda Sabah.

"Saya beri jaminan generasi muda di Sabah turut diberikan pendidikan TVET… ini juga bagi memastikan anak muda Sabah dilatih serta diberikan pekerjaan berdasarkan teknologi tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri UMNO Bahagian Putatan di sini.

Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin dan Ketua Bahagian UMNO Putatan Jeffrey Nor Mohamed turut hadir ke majlis itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI