(Teo Nie Ching ketika Program Chit Chat Teo anjuran Persatuan Pelajar Islam Selangor
Darul Ehsan/BERNAMA)
SHAH ALAM, 20 Julai- Anak muda disaran melibatkan diri dalam politik dan tidak beranggapan politik adalah kotor hanya kerana tidak menyukai seseorang individu.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching berkata penglibatan golongan belia mewujudkan perkongsiaan idea dalam membentuk dasar negara.
"Adalah sangat penting untuk kita terus melibatkan golongan muda dalam kerja politik. Mereka bukan sahaja perlu lebih memahami tentang bagaimana sesebuah kerajaan, kementerian buat keputusan, bentuk polisi tetapi pada masa sama mereka tidak ada satu tanggapan yang salah bahawa politik adalah kotor," katanya ketika ditemui selepas Program Chit Chat bersama YB Teo yang julung kali diadakan di sini.
Tambah Teo, anak muda terutamanya perlu faham melalui politik akan lahir pemimpin yang menentukan pentadbiran sesebuah negara.
Mengenai Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15, beliau yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP memaklumkan, pihaknya sangat mementingkan nilai keterangkuman dalam membentuk kerajaan MADANI serta pemilihan calon yang bakal bertanding.
"Untuk DAP kita percaya keterangkuman adalah sangat penting. Jadi kita akan pastikan bahawa dari segi calon kita ada pelbagai bangsa dan juga gender untuk kita pastikan bahawa kita membentuk Malaysia MADANI dengan cara kita tambah, bukan tolak sesiapa. Kita tambah apa yang bagus kita tamabah dalam budaya kita," tambahnya.
(Teo Nie Ching (tengah) bergambar bersama para peserta Program Chit Chat Teo anjuran
Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan/BERNAMA)