fb fb fb fb fb

Anak-anak autisme NASOM punyai kemahiran buat kuih raya

KUANTAN, 22 April- Pelbagai kaedah dan pendekatan boleh dilakukan untuk memastikan kanak-kanak istimewa juga mampu menjalani kehidupan berdikari sama seperti insan normal.

Tidak terkecuali anak-anak autisme, Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) Kuantan, mendidik mereka, antaranya kemahiran membuat kuih raya.

Pengajaran kemahiran pembuatan kuih raya mula diperkenalkan pada tahun 2016, sebagai platform pendedahan kepada anak-anak istimewa ini, untuk melakukan aktiviti dan mempelajari sesuatu di luar daripada kebiasaan mereka.


(Salah seorang anak NASOM Kuantan sedang menghasilkan biskut coklat cip)

Aktiviti seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada mereka untuk hidup berdikari sama seperti insan lain, tetapi juga membantu mengatasi masalah gangguan sensori yang dihadapi.

Kemahiran ini diperkenal hasil idea ibu bapa pelajar itu sendiri.

Justeru, NASOM menyediakan sembilan guru bagi melatih 40 pelajar termasuk 11 pelajar vokasional, untuk membuat kuih raya.

Menurut koordinator NASOM Kuantan, Liney Diana Ramli,seramai lima pelajar kini mahir membuat kuih raya dan bersama-sama guru, menghasilkan biskut Coklat Cip, dan Coklat Cip Badam yang turut dipasarkan.

“Untuk berjaya seperti hari ini sebenarnya kita dah lalui macam-macam, pelbagai cara dan teknik yang kita cari untuk bantu pelajar ini untuk capai kita punya 'target' iaitu untuk bagi kemahiran kepada mereka untuk mereka keluar nanti daripadaNASOM Kuantan untuk berjaya hasilkan produk sendiri," katanya.


(Koordinator NASOM Kuantan, Liney Diana Ramli)

Sebelum negara dilanda pandemik COVID-19, NGO ini menerima tempahan kuih raya sehingga 500 balang.

Kini, NASOM hanya menyasarkan 100 balang jualan, susulan pasaran yang terkesan pandemik.

Hasil jualan kuih raya turut diagihkan kepada para pelajar terlibat.

“Kita ada pelajar yang dah keluar daripada sini tapi sekarang dia dah berjaya menghasilkan produk sendiri dah dia buat biskut raya, buat 'cookies' dan pasarkan sendiri dan pelajar tersebut bukan sahaja pasarkan produknya bulan perayaan macam ni tapi sepanjang masa," ujar Liney.

Kejayaan pelajar-pelajar berkenaan menjadi buah tangan menggembirakan, yang membuatkan NASOM lebih giat membantu anak-anak istimewa ini.

Bukan setakat kemahiran membuat kuih raya, anak-anak autisme NASOM juga, diberi peluang mempelajari kemahiran pembuatan batik tie-dye, mendobi, dan menanam pelbagai jenis sayuran, termasuk cendawan tiram.

Media Baharu