fb fb fb fb fb

AMM jadi pusat aktiviti berkaitan latihan kepakaran perubatan

Premis baharu Academy of Medicine of Malaysia (AMM) di Putrajaya akan menjadi pusat bagi aktiviti berkaitan latihan kepakaran perubatan / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 30 September - Premis baharu Academy of Medicine of Malaysia (AMM) di Putrajaya akan menjadi pusat bagi aktiviti berkaitan latihan kepakaran perubatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia merupakan satu pencapaian oleh fraterniti perubatan dan juga AMM, bukan sahaja di Malaysia malah di rantau ini.

“Selain daripada pusat pentadbiran, kampus ini akan turut menempatkan 13 kolej di bawah AMM dan Akademi Kedoktoran Keluarga Malaysia yang akan menjadi pusat bagi aktiviti terkait latihan kepakaran perubatan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Beliau berkata premis itu turut berfungsi sebagai hab latihan dan menempatkan Academies Simulation and Education and Training Site (ASETS) yang mempunyai infrastruktur digital canggih yang mampu membuat simulasi kompleks, seterusnya menyokong fungsi latihan kepakaran perubatan.

“Saya amat berbangga kerana fasiliti ini akan melengkapkan lagi usaha kita untuk menjulang kedudukan Malaysia sebagai sebuah pusat kecemerlangan dan inovasi di persada dunia,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan mengalu-alukan kemajuan yang dicapai oleh AMM dan sentiasa bersedia bekerjasama untuk mengembangkan lagi profesion perubatan dan kesihatan di Malaysia.

Bangunan berkenaan menggantikan bangunan Akademi Perubatan lama di Jalan Tun Razak, di sini yang diambil alih kerajaan pada 2016.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan perasmian bangunan baharu itu semalam.-BERNAMA

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN