fb fb fb fb fb

AMK buat laporan polis terhadap kenyataan Tun Dr Mahathir

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Januari- Angkatan Muda Keadilan (AMK) tampil membuat laporan polis berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa masyarakat India di Malaysia masih tidak setia sepenuhnya kepada negara.

Laporan itu dibuat oleh Ahli Majlis Kepimpinan AMK Pusat M. Sathasivam di Balai Polis Travers, semalam.

Sathasivam tiba di balai polis itu pada pukul 5 petang dan selesai kira-kira sejam kemudian.

Ketika ditemui, beliau berkata selaku bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir perlu berhenti mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat keamanan dan perpaduan kaum di negara ini.

Dr Mahathir juga, katanya, tidak perlu mempersoal kesetiaan masyarakat Cina dan India kepada negara kerana sebelum ini beliau menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun adalah atas sokongan rakyat termasuk kedua-dua kaum.

“Tun (Dr Mahathir) perlu berhenti keluarkan kenyataan seperti itu, ia menggambarkan keadaan politik Malaysia tidak menentu dan akan menakutkan pelabur asing untuk melabur di sini," katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Pengelola PKR Pusat S.Thiban.

Sathasivam juga berkata pihaknya akan mengarahkan cabang AMK seluruh negara membuat laporan polis berhubung kenyataan itu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE