
SHAH ALAM, 6 Januari — Kerajaan Negeri Selangor memberi tumpuan segera kepada tiga isu utama melibatkan semua daerah iaitu sampah haram, pencerobohan tanah serta pemilikan tanah dan hak milik strata.
- Segerakan tindakan terhadap isu sampah haram di semua daerah untuk kebajikan rakyat dan tadbir urus efektif.
- Atasi pencerobohan tanah dengan langkah segera dan penyelesaian tempatan sebagai 'quick win'.
- Perjelas pemilikan tanah dan hak milik strata melalui pengurusan kedaerahan dan program utama negeri.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata penekanan terhadap tiga perkara itu perlu disegerakan dan dimuktamadkan.
Ini bagi memastikan kebajikan rakyat serta tadbir urus kedaerahan dapat ditangani secara lebih berkesan dan menyeluruh.
“Saya menumpukan tiga perkara utama untuk diberi perhatian secara spesifik dan segera di kesemua daerah iaitu isu sampah haram, pencerobohan tanah serta pemilikan tanah dan hak milik strata,” katanya.
Amirudin berkata demikian menerusi satu hantaran di media sosial selepas mengadakan sesi santai pagi bersama sembilan Pegawai Daerah Negeri Selangor, hari ini.
Dalam pertemuan itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada barisan hadapan Kerajaan Negeri di Pejabat-pejabat Daerah susulan kejayaan mencatatkan hasil melebihi RM3 bilion, yang pertama kali direkodkan dalam sejarah pencapaian negeri.
Menurut beliau, sesi berkenaan memberi ruang untuk mendengar secara langsung input setiap Pegawai Daerah berkaitan isu dan perkembangan semasa di kawasan masing-masing, selain beberapa pandangan yang akan diketengahkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pertama tahun ini.
“Saya juga berkongsi beberapa pandangan yang boleh dipertimbang sebagai ‘quick win solution’ terhadap isu setempat yang dibangkitkan,” katanya.
Beliau berkata fokus Kerajaan Negeri melalui pelaksanaan program utama, pengurusan bencana serta hal ehwal kedaerahan akan terus diberi penumpuan demi kepentingan rakyat secara keseluruhan.
Amirudin turut menyatakan keyakinan bahawa barisan hadapan Negeri Selangor mampu bergerak lebih tangkas dengan nilai kesepaduan dan kebolehsuaian melalui gagasan #KITASelangor sebagai nadi gerak kerja Kerajaan Negeri.
“Salut buat semua, terus berbakti untuk Selangor tercinta,” katanya.