PORT DICKSON, 22 Mac- Isu melibatkan seorang penjaja petai dan penguat kuasa Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) yang tular semalam telah diselesaikan secara baik menerusi pertemuan bersama semua pihak, jelas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.
Aminuddin berkata penyelesaian itu dicapai selepas pihaknya berhubung dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung Dr G Rajasekaran serta Yang Dipertua MPPD.
"Apabila berita itu sampai ke tangan kita, kita perlu melihat keseluruhan situasi dan tidak menjatuhkan hukuman kepada pihak yang tidak sepatutnya menerimanya.
"Alhamdulillah, isu ini dapat diselesaikan dengan baik, terima kasih kepada ADUN kawasan yang saya hubungi petang semalam bersama Yang Dipertua MPPD," katanya kepada RTM di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson turut menghulurkan sumbangan kepada penjaja tersebut yang disampaikan oleh G Rajasekaran dalam pertemuan berkenaan.
Sementara itu, MPPD bersetuju mengeluarkan lesen sementara kepada penjaja terbabit bagi membolehkannya meneruskan perniagaan secara sah.
Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan penjaja berkenaan membuang barang jualannya di atas jalan raya sebagai tanda protes kerana tidak dibenarkan berniaga menggunakan motosikal.