KUALA LUMPUR, 20 Mac – Editor Berita RTM, Ameerul Eiman Azizi terpilih sebagai peserta Program Residensi Khazanah Nasional Bhd (KRP) Wolfson Press Fellowship 2025.
Beliau akan mengikuti program selama 10 minggu bermula 7 April hingga 13 Jun di Wolfson College, University of Cambridge, United Kingdom.
Selain Ameerul, dua lagi peserta yang terpilih ialah Penolong Editor Perkhidmatan Berita Ekonomi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Niam Seet Wei, dan Naib Presiden (Komunikasi Korporat) Khazanah, Reena Raj.
Program tersebut memberi peluang kepada peserta untuk menjalankan penyelidikan di Universiti Cambridge.
Sepanjang program tersebut, Ameerul akan memberi tumpuan kepada kajian bertajuk Penerimaan Awam Mengenai Kecerdasan Buatan (AI) dalam Menyemak Fakta.
"Ini adalah topik yang saya rasa bermanfaat untuk negara kerana pendedahan terhadap AI masih rendah. Saya ingin masyarakat lebih peka mengenainya, sekali gus membantu syarikat dan kerajaan menangani isu ini serta mendekati orang awam dengan lebih efisien," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berharap peserta tahun ini dapat menghayati program sepenuhnya serta berkongsi pandangan dan pengalaman dalam kalangan peserta.
Sejak 2013, Khazanah telah bekerjasama dengan Wolfson College untuk menaja dua wartawan Malaysia dan seorang profesional komunikasi korporat setiap tahun. Setakat ini, seramai 30 felow telah dilahirkan menerusi program ini, menyumbang kepada misi Khazanah dalam memperkukuh komuniti media Malaysia.