MARANG, 23 Mac- Empat kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seorang pesakit berdepan detik cemas apabila ambulans yang dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok.
Kejadian tersebut berlaku di Kilometer 49 Jalan Kuala Terengganu Kuantan, dekat Kampung Jambu Bongkok, Marang, malam tadi.
Kemalangan kira-kira pukul 12.30 malam itu berlaku ketika ambulans tersebut dalam perjalanan dari Hospital Kemaman ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd. Sofian Redzuan berkata kenderaan tersebut dipandu seorang lelaki berumur 41 tahun bersama seorang doktor wanita berusia 28 tahun, dua jururawat dan seorang pesakit berumur 21 tahun.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila tayar belakang sebelah kiri kenderaan itu pecah menyebabkan terbabas dan melanggar sebatang pokok di kiri jalan.
Pemandu ambulans dan semua penumpang yang mengalami kecederaan ringan dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu bagi menerima rawatan.