fb fb fb fb fb

Ambulans kemalangan ketika perjalanan ambil pesakit

FOTO HIASAN

SEREMBAN, 17 November - Sebuah ambulans dalam perjalanan mengambil pesakit di sebuah rumah, terlibat kemalangan dengan kereta jenis Perodua Kancil dalam kejadian di KM 6.6 Jalan Pantai, Port Dickson dekat sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superitenden Aidi Sham Mohamed dalam satu kenyataan berkata pemandu ambulans berusia 43 tahun bersama penolong pegawai perubatan dan pembantu perawatan kesihatan sebuah hospital itu tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata pemandu kereta iaitu wanita berusia 48 tahun dan anak perempuannya, 10, pula mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Zon Hijau Hospital Port Dickson, manakala seorang lagi anak perempuannya berumur 7 tahun tidak cedera.

“Siasatan awal mendapati sebelum kemalangan, ambulans berkenaan mendapat panggilan kecemasan dan bergerak dari arah Hospital Port Dickson menghala ke Taman Megah Shellgate.

“Tiba di lokasi kejadian, kereta yang berada di lorong kanan hadapan ambulans secara tiba-tiba masuk ke simpang kanan sehingga ambulans terlanggar bahagian belakang kereta itu dan menyebabkan ia terbalik,” katanya.

Aidi Sham berkata siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Beliau berkata orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan boleh berhubung dengan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson menerusi talian 06-6472222.

TETITIA YUSOFF