
KUALA LUMPUR, 30 Mac- Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda 11 negeri dan Kuala Lumpur sehingga 9.00 malam ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
- METMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan beberapa negeri termasuk Kedah, Perak, Kelantan, Selangor, Johor, Sarawak dan Sabah.
- Daerah terjejas termasuk Cameron Highlands, Hulu Terengganu, Gua Musang, Gombak, Muar serta kawasan pedalaman dan pantai barat Sabah.
- Orang awam dinasihatkan berwaspada dan mengikuti kenyataan METMalaysia untuk perkembangan terkini.
METMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan keadaan cuaca itu dijangka berlaku di Perlis; Kedah (Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu); dan Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim).
Amaran sama turut dikeluarkan bagi Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang); Terengganu (Hulu Terengganu dan Dungun); Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Jerantut) serta Selangor (Hulu Selangor, Gombak dan Petaling).
Keadaan sama turut diramal di Negeri Sembilan (Jempol); Johor (Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang dan Kulai); manakala Sarawak melibatkan Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan dan Julau), Sibu (Kanowit), Kapit (Song), Miri (Telang Usan dan Marudi) dan Limbang.
Di Sabah, kawasan yang dijangka terjejas ialah bahagian Pedalaman (Sipitang, Tenom, Beaufort dan Tambunan) dan Pantai Barat (Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud).