KUALA LUMPUR, 20 Oktober — Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat yang dijangka berlaku di beberapa negeri seluruh negara sehingga pukul 6 petang ini.
Menurut kenyataan MetMalaysia yang dikeluarkan pada 2.25 petang, negeri-negeri yang terlibat ialah Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak, Sabah serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Di Perak, antara kawasan dijangka terjejas ialah Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim, manakala di Pahang, melibatkan kawasan Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Kuantan, Bera dan Rompin.
Amaran turut dikeluarkan bagi beberapa kawasan di Sarawak termasuk Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu (Kanowit dan Selangau), Kapit (Song dan Kapit), Miri serta Limbang.
Manakala di Sabah melibatkan kawasan Pedalaman (Sipitang, Tenom dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud), Tawau (Tawau dan Kunak) serta Kudat.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai agar berwaspada terhadap potensi banjir kilat serta risiko pokok tumbang susulan keadaan cuaca tidak menentu dan mengelakkan aktiviti di kawasan lapang sepanjang tempoh amaran berkuat kuasa.
