
KUALA LUMPUR, 26 Januari – Semua amaran yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) kini boleh diakses melalui aplikasi MET Api serta Portal Data Terbuka Sektor Awam bagi kegunaan agensi kerajaan, sektor swasta dan orang awam.
- Semua amaran MET Malaysia kini boleh diakses melalui aplikasi MET Api untuk kegunaan agensi, swasta dan orang awam.
- Amaran juga disediakan melalui Portal Data Terbuka Sektor Awam untuk dimanfaatkan pelbagai pihak.
- MET Malaysia berkongsi data Ramalan Hujan masa nyata dengan JPS bagi menyokong Pusat Ramalan Banjir Negara.
- Negeri Sembilan tidak dalam zon lingkaran api tetapi ada garis sesar lama yang berpotensi menyebabkan gempa mikro.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata MET Malaysia turut melaksanakan perkongsian data Ramalan Hujan secara masa nyata bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menyokong pengoperasian Pusat Ramalan Banjir Negara.
“Selain daripada hebahan amaran yang dinyatakan, semua amaran yang dikeluarkan oleh MET Malaysia boleh diakses melalui aplikasi MET Api ataupun Application Programming Interface dan juga Portal Data Terbuka Sektor Awam untuk dimanfaatkan oleh agensi kerajaan, sektor swasta dan juga orang awam.
Sejajar dengan usaha itu, MET Malaysia juga melaksanakan perkongsian data Ramalan Hujan secara masa nyata dengan JPS bagi menyokong pengoperasian Pusat Ramalan Banjir Negara.”
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk SeriJalaluddin Alias ketika sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas soalan tambahan mengenai risiko gempa bumi di Negeri Sembilan, beliau memaklumkan negeri itu tidak terletak dalam zon lingkaran api aktif, namun mempunyai beberapa garis sesar kuno yang berpotensi diaktifkan semula.
Beliau berkata keadaan itu mewujudkan kemungkinan berlakunya gempa bumi mikro atau berskala kecil.
Tambahnya, berdasarkan pemantauan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, kawasan berhampiran sesar Kuala Pilah dikenal pasti berpotensi mengalami gempa bumi mikro dan kemungkinan kejadian gempa bumi pada masa hadapan tidak boleh ditolak.