KUCHING, 7 Februari 2025 - Jabatan Meteorologi (MET) Malaysia hari ini mengeluarkan amaran peringkat waspada di beberapa kawasan di Sarawak bermula hari ini sehingga esok.
MET Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan hujan berterusan dijangka akan berlaku di kawasan tengah dan utara Sarawak, iaitu di Selangau di bahagian Sibu, Matu, Daro, Dalat dan Mukah.
Hujan juga dijangka melanda keseluruhan bahagian Bintulu serta Subis dan Miri.
Menurut Pengarah MET Malaysia Cawangan Sarawak, Khairul Najib Ibrahim, pihaknya turut meramalkan ribut petir dan hujan berlaku di kawasan-kawasan berkenaan pada lewat petang dan juga waktu malam.
Jelasnya, berikutan situasi cuaca Sarawak masih lagi menghadapi peralihan Monsun Timur Laut (MTL), keadaan atmosfera di negeri itu masih berada pada tahap lembab yang membawa hujan masuk ke kawasan-kawasan terbabit.
Walaupun, trend cuaca di Sarawak beransur pulih, Khairul Najib Ibrahim menasihati agar orang awam terus mengambil langkah berjaga-jaga, terutamanya bagi penduduk di kawasan berhampiran sungai atau tanah rendah yang berpotensi untuk mengalami banjir.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi RTM.