fb fb fb fb fb

Amaran cuaca: Patuhi amaran keselamatan, terutama aktiviti air

Waspada dengan amaran cuaca dan laut

KOTA KINABALU, 22 September – Operator pelancongan, terutamanya pengendali aktiviti air, diingatkan agar mematuhi nasihat dan amaran yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berikutan keadaan cuaca tidak menentu.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, berkata keselamatan pelancong dan pengunjung harus diutamakan.

"Operator-operator perlu berhati-hati dan memastikan keselamatan pelancong serta pengunjung diberi keutamaan.

"Apabila amaran mengenai keadaan laut yang bergelora telah dikeluarkan, ia mesti dipatuhi untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini," kata Joniston selepas melancarkan Festival Pantai Tanjung Aru (TABF 2024) di sini malam tadi.

Tambah beliau, aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan dan tidak boleh diketepikan, walaupun terdapat permintaan atau tekanan dari pelancong untuk melanggar amaran atau peraturan yang telah ditetapkan.

"Ia bukan suatu perkara yang boleh dikompromi, terutama sekali berkaitan aspek keselamatan," katanya ketika ditanya mengenai pelancong yang berkeras untuk melakukan aktiviti air.

GRACE AISYAH KEDAYAN