Amalan tadbir urus, kelestarian asas penting kemakmuran Malaysia

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Januari– Amalan tadbir urus yang kukuh serta kelestarian yang mampan perlu dijadikan teras utama dalam ekosistem korporat dan kewangan negara bagi menjamin kemakmuran jangka panjang Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh tadbir urus korporat sebagai teras ekosistem kewangan untuk kemakmuran jangka panjang negara.
  • Kelestarian mampan perlu diterapkan secara konsisten dalam strategi korporat, rangka kerja kawal selia dan pelaburan.
  • Komitmen kolektif sektor korporat, badan kawal selia dan pelabur penting bagi meningkatkan keyakinan pasaran dan daya tahan ekonomi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata komitmen kolektif merangkumi sektor korporat, badan kawal selia dan komuniti pelaburan amat penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan serta berdaya tahan dalam mendepani cabaran global.

Tambah beliau, penyertaan pelbagai pihak berkepentingan dalam satu platform mencerminkan kesepakatan bersama bahawa tadbir urus yang baik dan amalan kelestarian bertanggungjawab bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan asas kepada kemajuan negara.

“Majlis ini menghimpunkan pemimpin daripada sektor korporat, badan kawal selia dan komuniti pelaburan yang berkongsi keyakinan tadbir urus kukuh dan amalan kelestarian bertanggungjawab bukanlah pilihan, tetapi asas kepada kemakmuran jangka panjang Malaysia,” katanya ketika berucap semasa Anugerah Tadbir Urus Korporat dan Kelestarian Kebangsaan 2025 (NACGSA 2025), malam tadi (20 Januari).

NACGSA dianjurkan bagi mengiktiraf syarikat-syarikat senaraian awam yang menunjukkan kecemerlangan dalam amalan tadbir urus korporat dan kelestarian, sejajar dengan usaha meningkatkan piawaian pasaran serta membina keyakinan jangka panjang pelabur.

Selain itu, anugerah berkenaan turut berfungsi sebagai platform untuk menggalakkan kepimpinan korporat berintegriti, sekali gus menyokong aspirasi negara dalam membangunkan ekonomi yang berdaya tahan dan mampan.

Antara penerima anugerah pada majlis tersebut termasuk Top Glove Corporation Berhad, Malayan Banking Berhad, RHB Bank Berhad, CIMB Group Holdings Berhad dan Sime Darby Property Berhad.

Ujar Datuk Seri Fadillah, komitmen menyeluruh yang ditunjukkan oleh semua pihak amat penting bagi memastikan prinsip tadbir urus dan kelestarian diterjemahkan secara konsisten dalam strategi korporat, rangka kerja kawal selia serta keputusan pelaburan.

Katanya, amalan tadbir urus dan kelestarian yang mantap bukan sahaja membantu melindungi pihak berkepentingan, malah mengukuhkan disiplin pasaran serta meningkatkan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa terhadap pasaran modal negara.

“Kekuatan sebenar Malaysia sentiasa terletak pada keupayaannya untuk bergerak ke hadapan dan menyesuaikan diri dengan perubahan berpandukan nilai, mencipta pertumbuhan tanpa menjejaskan integriti serta bersaing sambil kekal bertanggungjawab dan berpegang kepada prinsip kesederhanaan,” katanya.