Amalan integriti jadi asas ekonomi stabil dan negara makmur

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 Februari – Ketegasan kerajaan dalam membanteras gejala rasuah terbukti mampu meningkatkan tahap integriti, sekali gus mengukuhkan nilai ringgit serta keyakinan pelabur terhadap negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Amalan integriti membina reputasi negara dan memulihkan kepercayaan untuk pengukuhan ekonomi.
  • Tindakan penguatkuasaan tegas, komunikasi berkesan dan kolaborasi semua pihak penting untuk integriti.
  • Strategi jangka pendek hingga panjang disusun untuk menaikkan kedudukan Indeks Persepsi Rasuah negara.

Penasihat Focus Group Penguatkuasaan, Datuk Dr Mazlan Ahmad, berkata amalan integriti bukan sahaja membina reputasi negara, malah menjadi asas kepada pemulihan kepercayaan dan pengukuhan ekonomi.

Beliau menjelaskan pasukan khas memerangi rasuah akan terus menggerakkan pelbagai strategi untuk meningkatkan kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara, termasuk menerusi tindakan penguatkuasaan, reformasi undang-undang, serta pengurusan dana awam.

“Mengapa CPI begitu penting kepada negara. Bukan sahaja negara, setiap genap lapisan masyarakat, kita kena ambil tanggungjawab. Pada 2024, kita punya CPI di tangga 57 daripada 180 buah negara. Datuk Seri Anwar mensasarkan 2033, nombor keramat 25.

“Untuk kami pasukan khas dalam kerajaan, kita melihat banyak langkah positif yang kita telah laksanakan. Banyak inisiatif yang kita rancang. Bukan sahaja untuk tahun lepas, tahun ini dan untuk tahun akan datang.

“Kita ada quick win, perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk menyasarkan kedudukan ke 25 pada tahun 2033,” katanya demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri Kota Media.

Datuk Dr Mazlan menekankan bahawa tindakan penguatkuasaan yang tegas, komunikasi berkesan, dan kolaborasi semua pihak bukan sahaja memperkukuh integriti, malah menjadi asas kepada ekonomi yang stabil serta negara yang makmur.