KUALA LUMPUR, 5 Februari - Alliance Bank Malaysia Bhd menggerakkan Program Bantuan Banjir bagi meringankan beban kewangan pelanggan terjejas di Sabah dan Sarawak.
Bantuan merangkumi pilihan moratorium pinjaman hingga enam bulan dan pengubahsuaian pembayaran pinjaman.
Kenyataan Alliance memaklumkan, bank turut mengecualikan caj dan bayaran bagi perkhidmatan tertentu seperti penggantian kad debit, kad ATM dan buku simpanan yang hilang atau rosak akibat banjir.
Program Bantuan Banjir ini dibuka untuk permohonan hingga 3 Mac ini. Pelanggan digalakkan tampil atau menghubungi pihak bank untuk berbincang.
Maklumat lanjut, hubungi talian Khidmat Pelanggan di nombor tertera, atau pengurus hubungan secara langsung.