fb fb fb fb fb

Al-Sultan Abdullah mahu rakyat sokong RUU Kawalan Produk Tembakau

(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan, Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bertitah
bagi merasmikan Institut Kesihatan Negara (NIH) di Setia Alam/ Foto BERNAMA)

SHAH ALAM, 9 Ogos - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa bangga terhadap usaha kerajaan yang membentangkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bagi melahirkan Generasi Penamat (GEG) merokok menjelang tahun 2040.

Menurut baginda, ini adalah usaha yang murni dan baginda berharap seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan dan dokongan supaya Rang Undang-undang itu dapat dikaji dan diteliti.

Titah baginda, anak-anak muda perlu dididik untuk mengamalkan amalan-amalan terbaik terutamanya melibatkan kesihatan dan paling penting dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan di hospital-hospital dalam negara. 


(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan
menandatangani plak perasmian Institut Kesihatan Negara (NIH) di Setia Alam hari ini. Turut
hadir Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin/ Foto BERNAMA)

"Baru-baru ini saya begitu bangga setelah mendapat maklum daripada kerajaan khususnya Perdana Menteri, satu lagi Rang Undang-Undang yang dibentang di Parlimen berkaitan Rang Undang-Undang Kawalan Tembakau dan Rokok telah diputuskan untuk dikaji lebih mendalam dan saya ingin menyatakan secara peribadi yang ini adalah satu usaha yang agak cukup murni dan saya harap seluruh rakyat Malaysia memberi satu sokongan dan dokongan supaya Rang Undang-Undang ini dapat dikaji dan diteliti," titah baginda pada Majlis Perasmian Kompleks Institut Kesihatan Negara (NIH) di Setia Alam, hari ini.

Pada masa yang sama, baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atas pelantikan beliau sebagai Naib Presiden bagi Persidangan Kesihatan Sedunia (WHA) Ke-75 dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga kerja Kementerian Kesihatan yang memberi perkhidmatan terbaik sewaktu negara memerangi COVID-19. 

Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Media Baharu