fb fb fb fb fb

Al Sultan Abdullah kurnia pingat kepada 302 individu

Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di istana negara

KUALA LUMPUR, 17 Januari- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan kepada 302 individu di Istana Negara, di ibu negara hari ini.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke istiadat itu.

Daripada keseluruhan 302 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan, sembilan individu menerima Johan Mangku Negara (JMN), 19 penerima Johan Setia Mahkota (JSM), satu penerima pingat setia dan bakti (JSD), 41 penerima Kesatria Mangku Negara (KMN).

Sementara itu 76 lagi individu menerima Ahli Mangku Negara (AMN),155 penerima pingat pangku negara (PPN) dan seorang penerima pingat panglima gagah berani (PGB).

Ketua Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, NurulHuda Abd Aziz turut dikurniakan Bintang KMN.

Antara penerima Darjah JMN ialah Panglima Armada Timur Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Madya Datuk Muhammad Ruzelme Ahmad Fahimy.

Manakala penerima Darjah JSM dikurniakan kepada Penolong Pengarah E8 Cawangan Khas Bukit Aman SAC Nik Ezanee Mohd Faisal, sementara itu bagi Darjah JSD dikurniakan kepada bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mejar (B) Mohamad Jailani Said.

Seorang penerima PGB ialah DSP Mohamad Hasnal, yang merupakan pegawai kanan polis yang terlibat dalam pertempuran memerangi pengganas Sulu di Kampung Simunul, Semporna, Sabah ketika Op Daulat pada Mac 2013.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI