LANGKAWI, 14 September - Masjid Al-Hana melaksanakan inisiatif Al-Hana Care yang memberi bantuan bulanan kepada tujuh pesakit kronik bawah kariah itu sebagai sebahagian daripada usaha kebajikan berterusan.
Pengerusi Masjid Al-Hana, Mohd Dzaher Saad, berkata inisiatif itu digerakkan melalui Biro Kebajikan Masjid Al-Hana bagi memastikan sumbangan yang diterima daripada orang ramai dapat disalurkan kembali kepada anak kariah yang memerlukan.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada semua penyumbang yang menyalurkan bantuan kepada Masjid Al-Hana. Semua sumbangan itu kita pulangkan semula kepada anak kariah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bulanan Fakir/Miskin Masjid Al-Hana di sini hari ini, yang disempurnakan Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah.
Sejak 2016, seramai 63 asnaf bawah kariah masjid itu menerima bantuan bulanan, manakala ratusan anak kariah asnaf telah berjaya dibantu sepanjang tempoh pelaksanaan program berkenaan.
Selain berperanan sebagai pusat ibadah, masjid juga menjadi pusat ilmu, pendidikan, sosialisasi, ekonomi dan pembangunan sosial komuniti Islam, termasuk melaksanakan aktiviti kebajikan bagi membantu golongan memerlukan.