KUALA LUMPUR, 23 November-Al-Falah Super Apps, aplikasi mudah alih sehenti pertama yang menyatukan perkhidmatan 14 agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dilancarkan hari ini untuk kemudahan umat Islam di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, berkata aplikasi tersebut dibangunkan untuk memenuhi keperluan semasa, di mana sebelum ini masyarakat perlu memuat turun pelbagai aplikasi untuk berurusan dengan agensi-agensi agama.
"Saya harap masyarakat, khususnya umat Islam, dapat memanfaatkan aplikasi Al-Falah ini untuk mendapatkan maklumat berkaitan aktiviti seperti halal oleh JAKIM, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, bahagian fatwa, pendakwaan, urusan haji, dan perkhidmatan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
"Kesemuanya kini tersedia dalam satu pusat sehenti ini, insya-Allah," katanya demikian semasa merasmikan aplikasi tersebut di Pavilion Al Falah sempena sambutan dua tahun Kerajaan Madani yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.
Aplikasi itu turut menawarkan 10 ciri utama yang memenuhi keperluan umat Islam, termasuk waktu solat, arah kiblat, bacaan al-Quran, Mathurat, dan maklumat masjid.
Dengan adanya Al-Falah Super Apps, pelbagai urusan dan permasalahan melibatkan 14 agensi agama kini dapat diselesaikan dengan lebih mudah melalui satu aplikasi sahaja.