Aktiviti penipuan dalam laman sosial giat dibanteras menerusi ONSA

Platform media sosial boleh didenda sehingga RM10 juta jika gagal bendung penipuan dalam talian. Foto/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 Februari – Kementerian Komunikasi menegaskan komitmen untuk membanteras taktik penipuan dalam talian yang semakin berleluasa dalam platform media sosial menerusi Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA), yang berkuat kuasa 1 Januari lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan guna ONSA untuk membanteras penipuan seperti deepfake AI, penipuan pelaburan dan judi dalam talian.
  • Platform media sosial boleh dikenakan denda antara RM1 juta hingga RM10 juta jika gagal kawal penipuan.
  • Regulatory sandbox sedang dijalankan untuk menilai mekanisme kawal selia dan had umur pengguna.
  • Masyarakat diingatkan tidak mudah terpedaya dengan janji pulangan besar daripada sindiket penipuan online.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata, pada masa ini, pendekatan regulatory sandbox atau medan ujian regulatori sedang dijalankan bagi meneliti mekanisme kawal selia terhadap platform media sosial termasuk had umur bagi memastikan mereka memahami sepenuhnya akta itu.

“ONSA terpakai kepada platform-platform dan sekiranya mereka terus membenarkan kejadian seperti deepfake AI, penipuan pelaburan serta judi dalam talian maka denda yang besar boleh dikenakan antara RM1 juta hingga RM10 juta.

“Kita beri mereka sedikit masa untuk memastikan mereka faham segala tugas dan tanggungjawab mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Penyatuan Seni dan Budaya di KL Gateway Mall di sini.

Selain memastikan ekosistem digital yang selamat,  Datuk Fahmi menegaskan, pelaksanaan itu juga penting bagi mengekang aktiviti jenayah termasuk penipuan dan penyebaran kandungan yang memudaratkan perkembangan mental kanak-kanak.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis sindiket penipuan yang menjanjikan pulangan besar dengan modal kecil, dan tidak sewenang-wenangnya mempercayai sebarang tawaran pelaburan di platform media sosial. – Bernama