Aktivis antarabangsa puji solidariti Malaysia terhadap Gaza

Penglibatan rakyat Malaysia memberi makna besar kepada perjuangan solidariti antarabangsa

BARCELONA, 12 April – “Terima kasih, Malaysia,” demikian ucapan aktivis Thiago Avila, sambil memuji penglibatan negara yang tidak berbelah bahagi serta usaha berterusan dalam menyuarakan sokongan terhadap Palestin di peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penglibatan rakyat Malaysia dan Asia memberi dimensi moral penting kepada misi solidariti antarabangsa.
  • Malaysia bersama Indonesia mewakili suara kuat komuniti Islam antarabangsa yang kekal rapat dengan perjuangan Palestin.
  • Solidariti didorong oleh penolakan melihat kanak-kanak kebuluran dan serangan terhadap hospital serta tempat perlindungan.
  • Flotila GSF melibatkan lebih 80 kapal dan 1,000 peserta, menggabungkan aksi maritim dengan mobilisasi dan advokasi global.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pemandu Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 menyifatkan penglibatan rakyat Malaysia dalam misi berkenaan sebagai sesuatu yang amat menakjubkan dan memberi makna besar kepada perjuangan solidariti antarabangsa untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Avila berkata komitmen kukuh ditunjukkan rakyat Malaysia dan masyarakat Asia, menambah dimensi moral yang signifikan kepada misi maritim.

“Solidariti daripada Malaysia, seluruh rantau Nusantara, malah dari seluruh Asia, amat mengagumkan. Kami sangat menghargainya. Kepada rakyat Malaysia, kami ingin ucapkan ‘terima kasih’. Anda semua luar biasa,” katanya ketika ditemui kurang 24 jam sebelum flotila itu dijadualkan berlepas.

Beliau berkata Malaysia, bersama Indonesia mewakili suara yang kuat dalam kalangan masyarakat Islam antarabangsa yang kekal mempunyai hubungan rapat dengan perjuangan rakyat Palestin.

Avila menegaskan bahawa komuniti ini didorong oleh penolakan kolektif untuk terus menyaksikan kebuluran kanak-kanak atau pengeboman yang menyasarkan hospital dan tempat perlindungan.

“Kita melihat penyertaan Asia dalam misi kali ini sebagai satu yang indah. Kita bercakap tentang komuniti yang mencintai Palestin, mencintai kebebasan, yang mencintai solidariti, yang benci melihat kanak-kanak mati kebuluran atau dibom,” katanya.

GSF dijadualkan berlepas dari sini hari ini, membawa gabungan antarabangsa yang bertekad untuk memecah kepungan Israel ke atas Gaza serta memberi respons terhadap krisis kemanusiaan dan politik yang semakin meruncing dihadapi rakyat Palestin.

Misi kali ini melibatkan lebih 80 buah kapal dan 1,000 peserta dari seluruh dunia, menggabungkan tindakan maritim dengan gerakan mobilisasi global secara bersepadu di darat, selain menghubungkan usaha solidariti, advokasi undang-undang serta kempen akar umbi di pelbagai negara. -BERNAMA