LABUAN, 23 Oktober - Sebanyak 127 premis diperiksa menerusi Operasi Mega Bersepadu Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam (Akta 852) yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Labuan.
Pengarah Jabatan JKN Labuan, Dr. Francis Paul berkata operasi melibatkan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan ini bertujuan untuk mengurangkan kesan buruk amalan merokok.
“Operasi ini adalah hasil daripada risikan dan perancangan awal untuk menyasarkan premis-premis yang melanggar undang-undang, selain berfungsi sebagai langkah pendidikan mengenai penguatkuasaan akta baru ini.
"Fokus utama adalah kepada kanak-kanak dan remaja, selain usaha untuk menghalang promosi yang tidak beretika" katanya .
Dalam operasi tersebut, dua premis telah dikenakan denda di bawah Seksyen 14 (4) Akta 852 kerana menjual rokok di bawah harga minimum yang ditetapkan, dengan denda berjumlah antara RM20,000 hingga RM100,000.
Selain itu, lima premis lagi didenda di bawah Seksyen 16 (2) kerana melanggar larangan merokok di kawasan tertentu, dengan denda maksimum RM5,000 setiap kesalahan.
Mulai 1 Oktober 2024, Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah mula dikuatkuasakan.
Ia sebagai langkah mengawal penggunaan, promosi, dan penjualan produk tembakau serta rokok.
Selain itu, kerajaan komited melindungi kesihatan awam, khususnya golongan kanak-kanak dan remaja, daripada kesan buruk merokok.