fb fb fb fb fb

Akta DBP 1959 dipinda, usaha kerajaan martabat Bahasa Melayu - PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac - Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 akan dipinda dalam usaha kerajaan memartabatkan Bahasa Melayu, sekali gus menjadikannya sebagai bahasa ilmu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pindaan itu akan membolehkan pihak DBP mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran Bahasa Melayu di semua peringkat sama ada daerah, negeri mahupun persekutuan.

Jelasnya, Akta DBP yang ada ketika ini tidak memberi kuasa kepada agensi kerajaan untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan bahasa.

(FOTO PMO)

Malah, Institut Terjemahan & Buku Malaysia juga akan diperkasa bagi menterjemah buku-buku ilmu ke dalam Bahasa Melayu.

"Kita bersetuju Bahasa Melayu adalah bahasa ilmu, tetapi penggunaannya berkurangan kerana tidak ada terjemahan buku-buku untuk ulangkaji dan juga sebagai buku yang khusus untuk digunakan di sekolah, universiti dan sebagainya. Jadi saya harap Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) selepas ini akan lebih proaktif dan kerajaan akan memperkasakan ITBM," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Muhammad Zahid Md Arip di Dewan Negara.

Tambah Ismail Sabri, dari aspek pendidikan pula Kementerian Pengajian Tinggi bersetuju supaya pelajar asing akan diwajibkan mempelajari Bahasa Melayu apabila mereka mendaftar di universiti di negara ini.

Media Baharu