fb fb fb fb fb

Akta Dadah Berbahaya 1952 bakal dipinda, syor hukuman lebih berat

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempengerusikan Mesyuarat JKMD Bilangan 2 Tahun 2023

KUALA LUMPUR, 23 Oktober- Tiga matlamat utama digariskan kerajaan dalam usaha membanteras gejala dadah yang semakin membimbangkan.

Ia meliputi tindakan menghalang penyeludupan dan pengedaran, meluaskan akses kepada rawatan dan pemulihan serta meningkatkan daya tindak individu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan berkata, kerajaan akan meminda Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk membolehkan hukuman lebih berat dikenakan.

Turut dibincangkan adalah penghapusan laluan tikus dan jeti haram di Perlis, Kelantan dan Kedah.

Pengukuhan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM juga akan diperkasa selain meneliti keperluan mewujudkan peruntukan undang-undang dalam menyelia platform e-Dagang bagi membanteras pembelian dan penghantaran dadah menerusi aplikasi dalam talian.

Tambahnya, akses rawatan dan pemulihan turut diketengahkan serta menyediakan pelan strategik dengan melibatkan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam pencegahan gejala dadah di seluruh negara.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) mempengerusikan Mesyuarat JKMD Bilangan 2 Tahun 2023 di Kuala Lumpur.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE