fb fb fb fb fb

Akta berkaitan kenderaan asing yang diubah suai untuk seludup diesel perlu dipinda- Ahmad Maslan

(Datuk Seri Ahmad Maslan melawat Kompleks Imigresen, Kastam,
Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit kayu Hitam)

BUKIT KAYU HITAM, 5 Mac- Kerajaan memerlukan pindaan akta berkaitan bidang kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membolehkan tindakan undang-undang dikenakan terhadap kenderaan asing yang diubah suai dalam usaha menangani isu ketirisan diesel di negara ini.

Jelas Timbalan Menteri Kewangan 1 Datuk Seri Ahmad Maslan beliau akan mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kemungkinan meminda akta berkaitan agar penglibatan JPJ menjadi lebih berkesan melalui penguatkuasaan undang-undang bagi menyekat aktiviti penyeludupan diesel menggunakan kenderaan diubah suai itu.

Ia susulan Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan 2023 memberitahu wujudnya ketirisan dalam subsidi diesel dengan anggaran nilai hampir RM10 bilion nilai subsidi diesel yang dipercayai diseleweng tahun lepas.

"Sekarang ini tidak boleh diambil tindakan kerana akta (di bawah bidang kuasa JPJ) tidak meliputi ubah suai kenderaan asing. Walhal mereka mengubah suai kenderaan mereka dan menyeludup dengan kenderaan yang diubah suai tetapi kita hanya boleh kompaun atas sebab penyeludupan diesel.

"Apabila mereka telah dikompaun atas keselahan menyeludup diesel, kenderaan itu akan patah balik ke negara jiran, dan kemudian mereka akan berulang-ulang kali melakukan kesalahan tersebut,"katanya.

Tambahnya pada 1 Mac lepas, pihak Kastam Kedah menahan dua kenderaan pikap asing yang diubah suai kerana cubaan menyeludup keluar diesel ke negara jiran sebanyak 800 liter.

Untuk rekod, Kastam Kedah juga pernah menahan enam kenderaan pikap yang diubah suai dengan tambahan tangki khas yang bermuatan minyak diesel di pintu keluar kenderaan ringan atau persendirian (eksport) di Kompleks ICQS pada 29 Januari lalu.

Sejumlah 1,780 liter minyak diesel daripada semua kenderaan yang berdaftar di negara jiran itu dirampas dengan bernilai RM3,827.

Pada masa sama, usaha bersepadu antara JKDM dengan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu juga dilakukan bagi memantau stesen minyak yang beroperasi di sekitar Bukit Kayu Hitam selain kerjasama dengan pihak stesen minyak terbabit agar penyeludupan diesel dapat dihalang.

Sementara itu, beliau berkata Kastam Kedah telah membuat kutipan hasil berjumlah RM1.45 bilion pada tahun lepas dengan kutipan hasil di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam merekodkan sebanyak RM284 juta.

Beliau ditemui pada sidang media selepas melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit kayu Hitam di Kedah.


(Datuk Seri Ahmad Maslan melawat Kompleks Imigresen, Kastam,

Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit kayu Hitam)

Media Baharu