fb fb fb fb fb

Akta 852: Kadar merokok disasar turun kepada kurang 15% tahun hadapan

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

PUTRAJAYA, 4 Oktober - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan pengurangan prevalen penggunaan tembakau konvensional kurang 15 peratus menjelang Disember 2025, susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, akta itu lebih inklusif mencapai sasaran berbanding 19 peratus yang direkodkan pada Tinjauan Tembakau Dewasa Global (GATS) Malaysia 2023.

"Itu angka yang ada sekarang. Tetapi pada masa sama, serentak ada peralihan daripada merokok ke vaping dengan kata lain telah meningkat penggunaan vape daripada 3.2 peratus kepada 4.9 peratus," kata Dr Dzulkefly.

Beliau bercakap kepada media selepas sesi taklimat Akta 852 di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli.

Ditanya mengenai sasaran melibatkan rokok elektronik beliau berkata, KKM akan menentukan prevalen produk berkenaan supaya dapat menangani isu tersebut dengan lebih berkesan.

Peningkatan hingga 600 peratus direkod terhadap penggunaan rokok elektronik dengan 5.8 peratus pengguna dikenal pasti pada 2023 berbanding 0.8 peratus pada 2011.

Dr Dzulkefly berkata dua kawasan baharu disenaraikan sebagai tempat larangan merokok iaitu bangunan dobi dan bangunan tempat kerja, yang akan dikuat kuasa pada 1 Januari depan.

Ia menjadikan tempat larangan merokok bawah Akta 852 kini berjumlah 28 berbanding 23 kawasan sebelum ini, bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, Akta Makanan 1983.

Sementara itu Dr Norhayati berkata 2,548 notis peringatan telah dikeluarkan sejak Akta 852 dikuat kuasa pada 1 Oktober lepas.

Beliau berkata KKM turut memeriksa 2,930 premis dan menjalankan 108 operasi rutin penguatkuasaan larangan merokok di kedai makan, restoran dan tempat awam, yang berjalan seperti biasa.

Dr Norhayati berkata Akta 852 adalah komprehensif yang bertujuan mengawal penggunaan rokok elektronik yang sebelum ini tidak dikawal terutama dalam kalangan golongan muda, di samping memperkukuh kawalan terhadap produk tembakau lain.

Akta 852 yang telah diwartakan pada 2 Februari lepas berkuat kuasa serentak dengan peraturan-peraturan serta perintah di bawahnya bermula 1 Oktober, namun penguatkuasaan akta itu akan melibatkan beberapa aspek yang akan dikuatkuasakan secara serta-merta dan juga berfasa.

Pelaksanaan serta-merta melibatkan penjualan produk merokok yang berbentuk permainan dan menarik perhatian kanak-kanak serta remaja bertujuan mengekang kebolehdapatan produk tersebut.

Selain itu, peruntukan akta juga melibatkan pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok serta berkaitan tempat larangan penjualan produk merokok seperti institusi pendidikan, pasar jualan dalam talian dan mesin layan diri.

Penguatkuasaan pendidikan pula akan dilaksanakan dahulu bagi tempoh enam hingga 12 bulan daripada tarikh kuat kuasa bagi aspek seperti pendaftaran produk merokok yang akan dikuatkuasakan bermula 1 April 2025, kawalan jualan termasuk pameran di kaunter jualan (1 April 2025) serta pembungkusan dan pelabelan (1 Oktober 2025).

TETITIA YUSOFF