PUTRAJAYA, 16 Mei- Kementerian Kesihatan (KKM) akan menguatkuasakan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sepenuhnya pada Jun depan.
Ia sebagai langkah menangani peningkatan penggunaan rokok elektronik membabitkan golongan muda.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan dapatan Global Adult Tobacco Survey (GATS) 2023, pengunaan rokok elektronik membabitkan golongan muda membimbangkan dan memerlukan tindakan pantas serta tuntas.
"Penguatkuasaan Akta 852 ini berserta peraturan dan perintahnya, insya-Allah akan kita laksanakan bermula Jun 2024 sebagai respons kepada peningkatan rokok elektronik, sebab dalam akta kawalan produk merokok ia juga akta kawalan vape.
"Kita harapkan dengan perintah dan peraturan kita akan dapat tangani peningkatan rokok elektroknik atau vape dalam kalangan orang muda ini," katanya dalam sidang media selepas melancarkan hasil penyelidikan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023: Penyakit Tidak Berjangkit dan Permintaan Penjagaan Kesihatan dan GATS 2023 di sini.
GATS 2023 diterbitkan Institut Kesihatan Umum, Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.
Dapatan utama GATS 2023 yang dikeluarkan hari ini memaklumkan prevalens pengguna rokok elektronik semasa meningkat secara drastik daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 5.8 peratus pada 2023.
Prevalens pengguna rokok elektronik dalam kalangan perokok berusia 15 hingga 24 tahun meningkat kepada 8.6 peratus pada 2023 berbanding 1.1 peratus pada 2011, menurut GATS 2023.
Selain itu, GATS 2023 turut mendedahkan prevalens dwipengguna iaitu tembakau dan rokok elektronik meningkat daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 3.9 peratus pada 2023.