SELAYANG, 30 Mei- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor dan Pulau Pinang untuk melakukan penstrukturan semula jabatan di dalam PBT itu sebelum mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) tidak lama lagi.
Presidennya, Datuk Dr Adnan Mat berkata penstrukturan semula itu penting bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan pihak PBT kepada masyarakat berada pada tahap terbaik.
"Ia bukanlah sesuatu yang menjadi masalah ataupun isu.Cumanya CUEPACS, kami melihat akta ini sebahagiannya utk menarik balik jawatan2 tetap yang ada di PBT."
"Maka dengan itu, jawatan-jawatan tetap ini perlu dikekalkan di PBT dan penstrukturan semula perlu dibuat agar PBT ini mampu memberi perkhidmatan kepada pemegang taruhnya, dengan lebih baik dengan anggota yang dikekalkan tersebut."
"Sekiranya anggota ini dikembalikan warannya berikutan pelaksanaan Akta 672 ini, CUEPACS bimbang PBT berada dalam keadaan ketidakcukupan anggota, akhirnya prkhidmatan PBT kepada rakyat akan terjejas," kata Datuk Adnan kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Penjawat Awam di Majlis Perbandaran Selayang (MPS), pagi tadi.
Setakat ini, tujuh negeri telah menggunakan akta tersebut iaitu Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Perlis dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Akta itu untuk memastikan keseragaman undang-undang dalam mengawal selia pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap serta merancakkan ekonomi kitaran.