SEPANG, 8 Mac- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menerima maklum balas positif atas usaha badan itu dapat mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengurusan sempadan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melahirkan kelegaaan atas maklum balas yang diterima daripada orang ramai.
Beliau juga optimis penubuhan AKPS adalah satu keputusan yang tepat dengan gabungan empat agensi utama bawah satu bumbung.
"Reaksi paling ketara sekarang adalah apabila kita satukan bawah satu bumbung AKPS, kita dapati bahawa rektik birokrasi itu dapat dikurangkan dengan ketara.
"Sebahagian daripada pelanggan kami yang berurusan dengan pintu masuk, mereka mendapati bahawa berurusan dengan agensi tunggal itu jauh lebih mudah berbanding pengalaman sebelumnya. sekurang-kurangnya, saya rasa lega bila mendengar maklum balas seperti itu," katanya.
Setakat ini 22 AKPS telah beroperasi di seluruh negara dan KDN menjangka akan memperluaskan lagi pengoperasian di 123 pintu masuk di seluruh negara sehingga Oktober tahun ini.
Beliau ditemui semasa sidang media Program Nilai-Nilai Murni Ramadhan AKPS Bersama Menteri Dalam Negeri 2025.
Dalam program berkenaan, beliau menyampaikan 680 pek juadah sahur kepada pegawai-pegawai yang bertugas sebagai penyuntik semangat dan pengiktirafan kepada petugas yang bekerja keras memastikan keselamatan pintu masuk negara terpelihara.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN, Datuk Makhzan Mahyuddin dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.
Sementara itu, Datuk Seri Saifuddin memaklumkan, pihaknya telah mengenal pasti calon bagi menggantikan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Hazani Ghazali.
Beberapa sesi perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam dan pihak berkaitan telah diadakan bagi memastikan calon yang layak dan berpengalaman dipilih.
Datuk Seri Hazani Ghazali merupakan KP pertama AKPS, bersara pada 9 Febuari lalu selepas menerajui badan itu sejak 31 Januari tahun lalu.