fb fb fb fb fb

AKPS akan ambil alih seluruh operasi pintu masuk negara secara berperingkat

Datuk Seri Hazani Ghazali

KUALA LUMPUR, 1 Februari- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) akan mengambil alih keseluruhan operasi di 114 pintu masuk negara secara berperingkat menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, AKPS memastikan setiap pintu masuk negara dikawal rapi dan bersepadu sekali gus menyelesaikan pertindihan tugas antara pelbagai agensi terlibat dalam kawalan sempadan.

"Semua agensi ini digabungkan bawah satu 'chain of command' bagi meningkatkan kecekapan dalam melaksanakan tugas. Jadi senang permudahkan semua petugas, tiada lagi yang perlu ke imigresen, kastam dan sebagainya.

Di pintu-pintu masuk negara AKPS akan bertanggungjawab sepenuhnya. CUma, dari segi duti eksais, cukai, taksiran masih lagi dibuat oleh pihak kastam iaitu pihak yang berwajib. Jadi kami akan permudahkan termasuk semua yang keluar masuk negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi tetamu khas Program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media di sini.

Peringkat pertama bermula hari ini melibatkan 22 pintu masuk termasuk di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, Kelantan sebagai lokasi operasi rintis.

Mengulas lanjut beliau juga berpendapat agar perkara itu akan dipanjangkan di sempadan-sempadan negara dengan kolaborasi dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Majlis Peluncuran AKPS akan diadakan pada 2 Februari di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1) dan akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI