KUALA LUMPUR, 9 Januari- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam percakapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong Dr. Mohd Zamri Mohd Zainuldin pada 7 Januari lepas bagi membantu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung satu hantaran palsu mengenai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima aduan orang ramai berhubung akaun-akaun media sosial di platform Facebook didapati menyebarkan suatu hantaran palsu mengenai Perdana Menteri.
"Hasil siasatan mendapati, kebanyakan akaun terbabit merupakan akaun palsu. Namun, pihak MCMC telah mengenal pasti bahawa salah satu daripada akaun yang diadukan adalah akaun milik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Selangor," menurut kenyataan itu.
Menerusi pemeriksaan bersama PDRM, satu unit telefon pintar dan satu unit kad sim telah diminta untuk diserahkan sebagai bahan bukti kes bagi membantu siasatan. Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti tersebut untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pada masa sama MCMC memohon orang ramai untuk berhati-hati dengan sebarang hantaran di media sosial selain memastikan maklumat dimuat naik adalah benar dan sahih.
Langkah berkenaan bagi menjamin persekitaran dalam talian berintegriti dan selamat demi kesejahteraan rakyat.