Akademi silat Gurun dirancang, sasar lahir pesilat pelapis

Penaung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Kedah, Datuk Zuraidi Rahim

SUNGAI PETANI, 25 Januari – Usaha memelihara warisan silat negara diperkasa menerusi perancangan penubuhan sebuah akademi silat di Gurun, Kedah yang bakal melahirkan generasi pesilat pelapis di peringkat negeri dan kebangsaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perancangan menubuhkan akademi silat di Gurun bagi melahirkan pesilat pelapis peringkat negeri dan kebangsaan.
  • Kajian dijalankan untuk memastikan akademi disusun secara sistematik dan sesuai dengan keperluan persilatan moden.
  • Akademi turut berfungsi sebagai pusat latihan dan platform penganjuran pertandingan tempatan serta antarabangsa.
  • Prasarana lengkap seperti asrama, kemudahan makan dan ruang latihan dirancang untuk sokong pembinaan pelapis remaja.

Penaung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, kajian sedang dilakukan bagi memastikan penubuhan akademi itu dilaksanakan secara sistematik dan memenuhi keperluan dunia persilatan semasa.

Menurut beliau, selain menjadi pusat latihan, akademi berkenaan juga berperanan sebagai platform penganjuran pertandingan silat di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Pihaknya menyasarkan untuk melahirkan pesilat pelapis pelapis sejak usia remaja sebagai persediaan kepada pasukan negeri dan negara.

“Kami tidak mahu penubuhan akademi ini secara sambil lewa. Sebab itu, kita mahu menyediakan prasarana lengkap termasuk asrama, kemudahan makan dan ruang latihan, agar anak-anak yang menjadi pelapis dunia persilatan mendapat persekitaran terbaik. Inilah antara gagasan utama bagi memastikan kejayaan akademi ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Himpunan Gema Pendekar MADANI Zon Utara dan Kejuaraan Silat Terbuka Piala Pendekar Utama Negara Dato’ Dr Raja Abdul Majid di sini, malam tadi.

Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.

Pada majlis berkenaan, Datuk Zuraidi turut menyerahkan memorandum sokongan penggiat persilatan Zon Utara kepada Perdana Menteri.

Jelas beliau, selain Zon Utara, pihaknya merancang untuk memperluas penganjuran Himpunan Gema Pendekar MADANI ke seluruh negara sebagai usaha memartabatkan silat di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Terdahulu, Perdana Menteri dalam ucapannya menegaskan seni bela diri silat perlu terus diperkasa dan tidak dilupakan, khususnya dalam kalangan generasi muda, seiring kemajuan teknologi dan digital negara.

Beliau berkata, walaupun negara mencatat kemajuan pesat dalam bidang teknologi, kecerdasan buatan dan pembangunan pusat data, silat perlu terus dipelihara sebagai warisan budaya dan jati diri bangsa.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan