fb fb fb fb fb

Akademi Keselamatan Siber Malaysia mula operasi tahun hadapan

Foto FB Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR, 26 September- Akademi Keselamatan Siber Malaysia akan beroperasi pada suku kedua tahun 2025; menawarkan kursus yang berpaksikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata akademi itu akan mengisi kekosongan tenaga kerja mahir dalam bidang keselamatan siber, selain berfungsi sebagai pusat pembangunan kapasiti keselamatan siber negara.

Akademi itu bertujuan menilai kepakaran, menyelaras penyelidikan, dan membangunkan keupayaan keselamatan siber secara menyeluruh serta berterusan.

"Ia (akademi) juga melibatkan pelaksanaan strategi pemasaran dan pensijilan profesional bagi memperkukuh kerjasama antarabangsa," menurut kenyataan tersebut.

Selain itu, akademi tersebut akan berfungsi sebagai pusat pembangunan kapasiti keselamatan siber TVET premier, khusus untuk penjawat awam, tenaga kerja industri, dan akademia.

Pelbagai program pensijilan jangka pendek dan sederhana juga akan ditawarkan, bersama-sama penyediaan silibus keselamatan siber yang boleh diguna pakai oleh universiti, politeknik, dan kolej tempatan.

Jumlah keperluan tenaga kerja keselamatan siber dalam negara dijangka meningkat kepada 26,430 orang pada penghujung tahun 2025 dan seterusnya kepada 28,068 orang pada tahun 2026.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM