fb fb fb fb fb

Ajaran sesat GISBH: Keputusan dipersembah kepada Majlis Raja-Raja hari ini, esok

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan

KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mempersembahkan kepada Majlis Raja-Raja (MRR) yang bersidang hari ini dan esok mengenai keputusan pandangan hukum berkaitan ajaran GISB Holdings (GISBH).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata keputusan itu telah diperkenan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

"Sehingga kini, sebanyak enam buah negeri telah membuat ketetapan hukum berkaitan GISBH.

"Mohon doakan supaya kita dapat memelihara dan menjaga akidah umat Islam di Malaysia," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan asal Dr Abd Ghani Ahmad (Jerlun) mengenai langkah drastik kerajaan untuk menghapuskan Tariqat Aurad Muhamadiyah sedangkan kedua-duanya sudah difatwakan sesat pada 1994.

Pada 24 hingga 26 September lalu, Jakim telah membentangkan kajian menimbang dan memutuskan pandangan hukum berkaitan ajaran GISBH pada Mesyuarat MKI Ke-25.

Antara negeri yang telah mengeluarkan fatwa ajaran GISBH adalah sesat ialah Melaka, Perlis, Selangor, Terengganu, Pulau Pinang, dan Sabah.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan telah mengambil langkah drastik menghapuskan tarekat GISBH melalui operasi bersepadu, termasuk kerjasama dengan agensi persekutuan, negeri, dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siri Ops Global.

"Penguatkuasa agama negeri juga terlibat dalam penyelarasan operasi ini. Ops Global berjaya memperoleh banyak bahan bukti yang berkaitan dengan akidah," katanya.

Dr Zulkifli turut menjelaskan Tariqat Aurad Muhamadiyah masih diamalkan oleh pengikut kerana beberapa faktor.

"Antaranya pengamalan tarekat secara tersembunyi serta sukar dikesan serta pengaruh pemimpin Al-Arqam iaitu Ashaari Muhammad yang masih kuat dalam kalangan pengikut walaupun selepas fatwa dikeluarkan.

"Selain itu, pengamal juga dilihat meyakini manfaat-manfaat dankekuatan ekonomi yang mungkin diperoleh daripada amalan tersebut berdasarkan ajaran-ajaran di dalam kumpulan tersebut," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN