GEORGE TOWN, 23 Oktober- Situasi ajaran sesat di Pulau Pinang setakat ini masih berada dalam keadaan terkawal, kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman.
Bagaimanapun beliau berkata, penguatkuasa sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan ajaran terbabit dapat dikekang di negeri itu.
Malah, katanya tindakan segera diambil sekiranya mana-mana individu atau kumpulan didapati mengamalkan perkara yang difatwakan sesat dengan menyalahi akidah, syariah dan akhlak yang mempengaruhi pemikiran masyarakat.
"Di mana-mana pun ada termasuk di Pulau Pinang tetapi tidaklah terlalu serius dan ketara kerana kalau ajaran sesat biasanya kita akan wartakan dan akan terikat dengan undang-undang, maka dengan sebab itu penguatkuasa terutama di Jabatan Agama Islam akan memantau dan akan ambil tindakan dengan kerjasama polis juga untuk mengambil tindakan terhadap ajaran-ajaran sesat yang berlaku," katanya ketika menjadi tetamu dalam slot Bicara Prisma di konti MutiaraFM, di sini hari ini.
Tambahnya, ilmu syarak ditekankan dalam sesi pemulihan kepada mereka yang terpesong dengan ajaran sesat, bagi memastikan mereka kembali ke pangkal jalan.
Pada 18 Oktober lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh pemimpin, pengikut pekerja atau jemaah GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) difatwakan sesat.
Bagi membantu memulihkan akidah jemaah GISBH, kerajaan negeri menyediakan Kompleks Darul Hidayah (KDH) Permatang Tok Gelam, Penaga sebagai pusat pemulihan akidah secara sukarela.
Sebanyak empat premis perniagaan milik syarikat tersebut telah ditutup sepenuhnya selain tiada institusi pendidikan melibatkan kumpulan itu di Pulau Pinang.