fb fb fb fb fb

AirAsia sambung semula laluan antara P.Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 31 Mac- Dalam usaha untuk memperkukuh komitmen perkhidmatan AirAsia di Sarawak dan Sabah laluan antara Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu disambung semula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Bo Lingam dalam satu kenyataan berkata, pihaknya berbesar hati untuk memperluas rangkaian penerbangan dalam negara selain meningkatkan tawaran destinasi di kawasan Malaysia Timur itu.

"Sebagai sebuah syarikat penerbangan tempatan, penyambungan semula laluan-laluan ini membuktikan komitmen kami untuk menawarkan lebih banyak perkhidmatan di Malaysia.

"Dengan menghubungkan semula laluan-laluan ini, kami berhasrat untuk memenuhi peningkatan permintaan bagi perjalanan antara Pulau Pinang, Kuching dan Kota Kinabalu sambil terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan pembangunan pelancongan dalam negara.

"Kami berharap untuk menerbangkan lebih ramai tetamu pada laluan-laluan ini dan terus memperluas rangkaian domestik pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Sarawak Nurul Ain Mohammed Yunus berkata, penyambungan semula laluan berkenaan menandakan satu pencapaian penting dalam memperkasakan sektor pelancongan antara Pulau Pinang dan Sarawak.

Melalui penyambungan laluan itu, pihaknya menjangka impak positif terhadap pertumbuhan pelancongan Sarawak.

"Berikutan profil pelancong yang pelbagai dari Pulau Pinang, kami berharap dapat terus mempromosikan kepelbagaian warisan budaya, landskap semula jadi menakjubkan dan pengalaman pengembaraan unik di Sarawak.

"Penyambungan semula laluan ini membuka peluang untuk kami menarik lebih ramai pelancong dan memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan utama di Malaysia," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI