
KOTA TINGGI, 26 Januari – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor bersama Jabatan Perikanan sedang menjalankan siasatan berhubung insiden pencemaran air Sungai Sayong di Kampung Orang Asli Sayong Pinang yang dilaporkan bertukar gelap kehitaman, semalam.
- JAS Johor dan Jabatan Perikanan menyiasat pencemaran air Sungai Sayong yang bertukar gelap kehitaman.
- ADUN Panti terima aduan penduduk dan minta pemeriksaan bagi kenal pasti punca serta impak terhadap perikanan.
- Dapatan awal JAS tidak menemui bukti pelepasan efluen dari KKS Penggeli; siasatan diteruskan ke hulu.
- Tiada kematian ikan dilaporkan setakat ini; pemantauan dan tindakan susulan akan diteruskan demi kebajikan penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Hahasrin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk sebelum meminta kedua-dua jabatan berkenaan menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti punca serta tahap kesan pencemaran terhadap alam sekitar dan sumber perikanan setempat.
“Isu pencemaran sungai bukan perkara kecil. Ia memberi kesan langsung kepada kehidupan penduduk, nelayan darat, ekosistem sungai dan kelestarian alam sekitar. Kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang bentuk pencemaran yang menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di Facebook malam tadi.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan JAS Johor di lokasi sekitar pukul 3.15 petang mendapati air sungai sememangnya berwarna gelap kehitaman, namun setakat ini tiada kematian ikan dilaporkan sama ada di sungai atau di sangkar milik penduduk.
“Pengadu memaklumkan kejadian disedari sekitar pukul 10 pagi dan aliran air dipercayai dari arah Kilang Sawit Penggeli (KKS Penggeli).
“Ujian kualiti air menggunakan alat YSI turut dijalankan oleh pihak JAS di lokasi,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Hahasrin berkata siasatan di kilang tersebut mendapati tiada pelepasan efluen berlaku, manakala air larian dari kawasan Empty Fruit Bunch (EFB) pula dialirkan ke telaga sebelum ke kolam fakultatif, dan tinjauan dron serta pemeriksaan parit tidak menemui limpahan atau kebocoran efluen.
Selain itu, dapatan awal JAS tidak menemui sebarang bukti pencemaran daripada KKS Penggeli dan tiada petunjuk kilang itu menyumbang kepada pencemaran Sungai Sayong, namun siasatan lanjut akan diteruskan ke bahagian hulu sungai bagi mengenal pasti punca sebenar.
Tambah beliau, pihaknya akan terus memantau perkembangan kes bagi memastikan tindakan susulan diambil demi kebajikan penduduk dan kelestarian alam sekitar.
Pada 31 Oktober tahun lepas, tiga kampung iaitu Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kampung Orang Asli Pasir Intan dan Kampung Orang Asli Kempas Menang dilaporkan terjejas akibat pencemaran sungai susulan kejadian kolam cucian pasir pecah yang turut menjejaskan aktiviti nelayan dan gangguan bekalan air di beberapa daerah.