fb fb fb fb fb

Air pasang besar, dua PPS dibuka di Kuala Perlis

Foto Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis

KUALA PERLIS, 18 Oktober- Dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Kuala Perlis berikutan air pasang besar yang berlaku di sekitar Kuala Perlis, setakat pukul 9.30 malam tadi.

PPS berkenaan ialah di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis yang diaktifkan sejak pukul 2.30 pagi tadi yang menempatkan seramai 165 penduduk daripada 49 keluarga.

Pengarah JKM Perlis Ku Chik Ku Mat Esa berkata, penduduk yang ditempatkan di IKBN Kuala Perlis dari enam buah kampung iaitu Kampung Tanah Baru, Kampung Pulau Ketam, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Seberang Alor, Kampung Baru Bukit Tok Po dan Kampung Bahagia.

"Sebuah lagi PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai telah diaktifkan bermula pukul 8.00 malam ini berikutan IKBN Kuala Perlis tidak mampu menampung pertambahan penduduk yang akan dipindahkan.

"Ini berikutan air pasang besar yang akan berlaku kira-kira pukul 1.00 pagi nanti dijangka mencecah ketinggian sehingga 3.7 meter," kata Ku Chik.

Bagaimanapun Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Perlis siap siaga sepenuhnya bagi membantu memindahkan penduduk yang terjejas dengan air pasang besar sepanjang laluan Kuala Perlis hingga Kuala Sanglang.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI