Aidilfitri: SWM Environment gerakkan 300 jentera, 1,500 kakitangan di Melaka

Foto BERNAMA

KLEBANG, 12 Mac– SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) menggerakkan lebih 300 kenderaan dan jentera bagi operasi khas sempena Hari Raya Aidilfitri di Melaka, bermula 16 Mac hingga 24 April ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi melibatkan lebih 1,500 tenaga kerja bertugas dalam tiga fasa utama: sebelum, semasa dan selepas sambutan Aidilfitri.
  • Tumpuan operasi: kutipan sisa domestik dan pukal mengikut jadual, pembersihan pasar awam, kutipan tong berpusat serta pembersihan kawasan tumpuan.
  • Jadual kutipan perumahan kekal kecuali hari raya pertama; keluarkan sisa lebih awal dan pastikan laluan jentera tidak dihalang.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin menyatakan bahawa operasi tersebut melibatkan lebih 1,500 tenaga kerja yang akan bertugas dalam tiga fasa utama iaitu sebelum, semasa dan selepas sambutan Aidilfitri.

Tumpuan operasi merangkumi kutipan sisa domestik dan sisa pukal mengikut jadual, pembersihan pasar awam, kutipan di tong berpusat, serta kerja-kerja pembersihan di kawasan tumpuan awam.

“Jadual kutipan sampah di kawasan tapak atau taman perumahan kekal tidak berubah, kecuali pada hari raya pertama di mana waktu perkhidmatan akan diawalkan ke pukul 12 tengah malam. Sehubungan itu, kita memohon kerjasama masyarakat untuk mengeluarkan sisa sampah lebih awal pada malam raya.”

“Pasukan kami akan melakukan kutipan pada tengah malam tersebut bagi memastikan semua tong sampah telah dikosongkan sebelum orang ramai keluar menunaikan solat sunat Aidilfitri pagi keesokannya,” kata Mohd Norlisam kepada pemberita dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya menguruskan sisa sampah dengan baik sepanjang tempoh perayaan serta memastikan laluan jentera kutipan tidak dihalang bagi mengelakkan gangguan kepada operasi pembersihan.