
HULU LANGAT, 15 Mac – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik menjelang sambutan Aidilfitri berikutan jaminan kerajaan bahawa bekalan makanan negara mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei ini.
- Bekalan makanan asas seperti ayam, telur, daging, susu dan ikan berada pada tahap mencukupi.
- Kerajaan sentiasa memantau faktor luaran yang boleh mempengaruhi harga dan bekalan makanan.
- Kebanyakan import makanan datang dari negara yang tidak melalui Selat Hormuz, sekali gus mengurangkan risiko gangguan bekalan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat ini bekalan makanan asas termasuk ayam, telur, daging, susu dan ikan berada pada tahap mencukupi bagi menampung keperluan rakyat.
Menurutnya, kerajaan sentiasa memantau perkembangan ekonomi semasa termasuk faktor luaran yang boleh mempengaruhu harga dan bekalan makanan negara.
“Buat sekarang ini, stok bekalan makanan kita tak ada masalah sekurang-kurangnya sehingga bulan Mei yang akan datang. Oleh itu jangan ada panic buying,” katanya pada sidang media program Langat Kacau Dodol Madani 2.0 di Padang Stadium Mini Batu 14 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamad berkata faktor utama yang boleh memberi kesan kepada harga makanan pada masa depan adalah perkembangan konflik antarabangsa serta perubahan harga minyak dunia.
Bagaimanapun beliau menjelaskan kebanyakan sumber import makanan Malaysia datang dari negara yang tidak melalui kawasan konflik di Selat Hormuz.
“Kita ambil beras dari Pakistan dan India, manakala bahan makanan lain dari China, negara ASEAN, Argentina, Brazil, Australia dan New Zealand yang tidak melalui kawasan pertelingkahan.
“Harga minyak dan bersangkut-paut itu semuanya yang impak bukan sekarang ini, kemungkinan beberapa bulan yang akan datang. Kita akan dengarlah nasihat dan pandangan Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam merangka strategi pada waktu itu,”katanya.