Aidilfitri: Lebih 6,000 anggota polis perhebat rondaan di kawasan perumahan

Program Konvoi Iftar Sanjungan Budi Frontliner di Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya/ FOTO BERNAMA

PETALING JAYA, 14 Mac – Lebih 6,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan digerakkan bagi memperhebat rondaan di kawasan perumahan serta lokasi berisiko tinggi di seluruh negara sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anggota polis ditugaskan melaksanakan rondaan dan pemantauan keselamatan harta benda serta orang ramai.
  • Kenderaan MPV URB turut digerakkan bagi menyokong operasi rondaan keselamatan.
  • Rondaan dipertingkat di laluan utama untuk membantu melancarkan pergerakan orang ramai pulang ke kampung.
  • Orang ramai diminta maklumkan polis sebelum tinggalkan rumah melalui borang balik kampung atau aplikasi VSP, kira-kira 1.6 juta muat turun.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata anggota polis berkenaan akan ditugaskan bagi melaksanakan pemantauan keselamatan.

“Seramai 6,132 anggota di seluruh negara dan juga 3,375 kenderaan MPV URB ditugaskan untuk penugasan di seluruh negara bagi pemantauan rondaan keselamatan harta benda premis dan juga orang ramai supaya terus terjaga dan terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Konvoi Iftar Sanjungan Budi Frontliner di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Selangor, DCP Mohd Zaini Abu Hassan dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shamsudin Mamat.

Dalam pada itu, menurut Datuk Seri Mohd Yusri, rondaan turut dipertingkat di laluan utama yang dijangka mengalami kesesakan trafik bagi membantu melancarkan pergerakan orang ramai pulang ke kampung halaman.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memaklumkan kepada pihak polis sebelum meninggalkan rumah dengan mengisi borang balik kampung di balai polis berhampiran atau melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi memudahkan rondaan serta pemantauan dilakukan.

Setakat ini, kira-kira 1.6 juta pengguna di seluruh negara telah memuat turun aplikasi VSP yang diperkenalkan PDRM bagi membolehkan orang awam menyalurkan maklumat dan melaporkan jenayah dengan lebih cepat serta mudah.