SEREMBAN, 21 Mac- Kerja penyelenggaraan jalan melibatkan penutupan lorong di semua lebuh raya akan dihentikan sementara mulai 24 Mac hingga 7 April bagi melancarkan perjalanan sempena perayaan Aidilfitri.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata langkah itu diambil bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang luar biasa dan memastikan kelancaran pergerakan trafik.
"Bagaimanapun larangan penutupan lorong ini dikecualikan bagi kerja-kerja mendesak atau kes kecemasan seperti kemalangan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pembukaan Jalan Persekutuan FT51 Seremban-Kuala Pilah di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan keputusan itu selaras dengan tarikh penguatkuasaan operasi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Projek menaik taraf lorong tambahan Jalan Persekutuan FT51 Seremban-Kuala Pilah merupakan komitmen Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam menyediakan infrastruktur jalan raya yang berkualiti, selesa dan selamat bagi rakyat Malaysia MADANI.
Hadir sama, Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Roslan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan J. Arul Kumar.