KOTA BHARU, 26 Mac- Kerajaan Kelantan mengumumkan Ahad ini sebagai Hari Kelepasan Am sempena sambutan Aidilfitri bagi memberi ruang kepada rakyat negeri itu membuat persiapan dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Kota Darulnaim di sini hari ini.
"Pihak kerajaan negeri bersetuju untuk mengumumkan Hari Kelepasan Am pada Ahad ini, 30 Mac. Kita mahu rakyat mempunyai lebih ruang untuk merapatkan silaturahim bukan sahaja bersama keluarga tetapi juga sahabat handai. Aidilfitri adalah hari kegembiraan dan kemenangan bagi umat Islam," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM500 kepada penjawat awam di Kelantan.
Agihan bantuan itu akan bermula esok dan melibatkan seramai 9,000 penjawat awam termasuk lantikan politik dengan implikasi kewangan berjumlah RM5 juta.