KANGAR, 5 April- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis memberi jaminan bekalan makanan penting mencukupi untuk menampung keperluan penduduk di Perlis ketika Aidilfitri.
Manakala harga barangan keperluan juga tiada sebarang kenaikan.
Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDN Perlis, Farah Adlina Ropaie berkata berdasarkan pemantauan yang dilakukan pihaknya, bekalan barangan makanan penting ketika Aidilfitri seperti bawang, cili, daging, halia dan kelapa adalah mencukupi.
Sehubungan itu, bagi menjaga kestabilan harga dan keterjaminan barangan, pemeriksaan secara berkala dijalankan pihaknya.
"Bermula hari ini, Pejabat KPDN Perlis telah mengerakkan semua pegawai penguat kuasa bagi menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di peringkat pemborong dan peruncitan terutama di lokasi-lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya di seluruh Perlis.
"Pendekatan ini membolehkan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya kepada media selepas membuat pemeriksaan dan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri 2024 di sini.
Dalam pada itu di Johor, Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata tahap kepatuhan peniaga terhadap skim kawalan harga yang ditetapkan KPDN meningkat di negeri itu.
Ia berikutan penghasilan kes SHMMP Tahun Baharu Cina, menunjukkan penurunan ketara kepada 1,400 kes tahun ini, berbanding 4,500 kes tahun lepas.
Katanya, trend positif itu juga menunjukkan para peniaga dan pembeli di negeri tersebut, mempunyai tahap kesedaran yang tinggi.
Bagaimanapun, pihaknya akan terus mempergiat kegiatan penguatkuasaan bagi memastikan kes-kes terpencil dapat dibanteras.
"Alhamdulillah, kita nampak ada kesedaran dan pengguna pula kita minta jasa baik janganlah viralkan terus.
"Datanglah untuk membuat aduan terus kepada KPDN.
"Kita akan membantu dan membuat tindakan terus berkaitan perkara-perkara ini.
"Para penjual turut ditegaskan untuk mematuhi skim kawalan harga yang ditetapkan.
"Manakala aduan awam boleh disalurkan kepada pejabat kementerian berhampiran, ataupun emel dan menghubungi pusat panggilan KPDN," katanya kepada pemberita pada sidang media sempena pelancaran SHMMP Hari Raya Puasa 2024 Negeri Johor di Johor Bahru.