PUTRAJAYA, 26 Mac- Harga barangan asas sempena Aidilfitri adalah terkawal bukti usaha berterusan kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI menyifatkan keadaan itu sebagai petanda positif terhadap langkah kawalan harga yang dilaksanakan oleh kerajaan terutama dalam memastikan kestabilan bekalan barangan asas sepanjang musim perayaan.
"Kita juga melihat bekalan beras putih tempatan telah mula sampai ke pelbagai lokasi dan pihak KPKM terus berusaha mengenal pasti kawasan yang masih belum menerima bekalan tersebut.
"Malah, terdapat laporan daripada beberapa menteri yang menyatakan harga telur juga mencatatkan penurunan menjelang Aidilfitri,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menggalakkan orang ramai untuk memanfaatkan aplikasi PriceCatcher bagi membandingkan harga barangan asas di pelbagai premis dan mendapatkan produk pada harga yang lebih berpatutan.
Fahmi turut berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada KPDN dan KPKM dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini atas kejayaan kedua-dua kementerian memastikan harga barangan asas terkawal terutama sepanjang tempoh menjelang Aidilfitri.